suria

Cedera Isteri Di Pagi Raya, Pengawal Keselamatan Dipenjara Empat Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana memukul isterinya ketika berlaku perselisihan faham antara mereka di pagi Hari Raya Jumaat lepas.

Majistret Nur A'minahtul Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Faizal Sohani, 40, selepas dia mengaku bersalah mencederakan Zalinah Kamaruddin, 40, di rumah mereka di Flat PPR Sri Pantai, Pantai Dalam, Brickfields di sini, pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap, 19 Julai lepas.

Menurut fakta kes, Faizal memukul isterinya selepas mangsa bertanyakan tentang wang belanja untuk membeli baju raya.

Mangsa kemudiannya dikurung di dalam rumah oleh tertuduh, namun berjaya diselamatkan oleh anak lelaki sulungnya pada Ahad lepas.

Akibat daripada pertengkaran itu, mangsa mengalami lebam di bahagian lengan kanan dan kiri.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga termasuk empat orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh telah melakukan kekerasan terhadap isteri yang sepatutnya dikasihi dan bukan dizalimi.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain