suria

Remaja Ditahan Berhubung Kemalangan Langgar Lari Di Jalan Kuching

Keadaan kereta Proton Perdana yang remuk teruk akibat kemalangan di Jalan Kuching, Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki ditahan berhubung kes kemalangan langgar lari di Jalan Kuching yang mengakibatkan kematian seorang pelajar berusia 21 tahun pada awal pagi Hari Raya Aidilfitri pertama Jumaat lalu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP Markandan Subramaniam berkata, remaja berusia 17 tahun itu ditahan pada malam Ahad selepas polis menjejaki suspek berdasarkan serpihan plat nombor pendaftaran kenderaan yang ditemui di lokasi kejadian.

"Dia memandu kereta Toyota Camry milik ayahnya ketika kejadian. Kita telah membebaskannya atas jaminan selepas merekodkan kenyataannya," kata Markandan.

Insiden tersebut disiasat kerana kecuaian memandu.

Pelajar kolej, Farhanna Qistina Supandi mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada awal pagi Jumaat.

Mangsa berada di tempat duduk belakang dalam Proton Perdana milik keluarganya ketika dilanggar oleh pemandu kereta terbabit.

Ia mengakibatkan kereta Proton Perdana terbabit terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh oleh bas ekspres di Jalan Kuching.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain