suria

Rafizi, Pua Sangkal Dakwaan Berkomplot

Rafizi dan Pua menyangkal dakwaan Melanyi.

PETALING JAYA: Dua ahli parlimen pembangkang menyangkal dakwaan Lester Melanyi yang mengaitkan mereka dalam komplot memalsukan maklumat berkaitan 1MDB.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, peguamnya sudah memulakan proses perundangan terhadap Melanyi berhubung pendedahan menerusi rakaman video bekas pengarang Sarawak Tribute itu.

"Menerusi dua videonya, Lester Melanyi mendakwa saya bersama pihak lain di dalam dan luar negara memalsukan maklumat berkaitan 1Malaysia Development Bhd untuk menipu supaya mencapai sebaang objektif.

"Dia akan terima surat tuntutan daripada peguam saya minggu ini dan diberi tempoh tujuh hari untuk menarik balik dakwaannya atau memohon maaf," kata Pua menerusi kenyataannya pada Isnin.

Kata Pua lagi, beliau terkejut dengan pengakuan Melanyi kerana beliau tidak pernah bertemu bekas pengarang itu.

"Saya terkejut kerana saya tidak pernah mengenali 'Lester Melanyi' selama ini sebelum video pertama didedahkan, apa lagi berhubung dengannya," katanya.

Sementara itu, Ahli Perlimen Pandan, Rafizi Ramli yang turut disebut Melanyi berkata, beliau percaya pengakuan itu palsu dan didorong oleh sesuatu yang menguntungkan.

Beliau menambah, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan sepatutnya memohon maaf kerana menyebarkan maklumat tidak benar.

"Pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat Lester Melanyi untuk mengetahui siapa sebenarnya dalang yang membayarnya untuk menyebarkan maklumat palsu kerana mereka mengganggu siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain