suria

194 Imam, Bilal Terima Sumbangan Ramadan

Mohamed Haniffa (kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil imam pada majlis sempena Ramadan dan Aidilfitri.

KUALA LUMPUR: Seramai 194 imam dan bilal dari masjid-masjid di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan menerima sumbangan daripada syarikat tekstil terkemuka, Haniffa Sdn Bhd sempena Aidilfitri.

Sumbangan berbentuk wang tunai, kain dan barangan keperluan itu disampaikan Pengerusi syarikat, Mohamed Haniffa Kadir Mohiden kepada 251 individu termasuk rumah ibadat agama lain sebagai tanda muhibbah rakyat negara ini.

Mohamed Haniffa, 75 berkata, sumbangan itu diberikan kepada  imam dan bilal untuk menghargai jasa dan tugasan yang dijalankan untuk masjid yang diwakili sepanjang Ramadan ini.

"Banyak syarikat dan individu yang sering memberi sumbangan kepada pihak masjid terutama sekali pada Ramadan.

"Jadi kami memberikan sumbangan kepada imam dan bilal sebagai tanda penghargaan kepada mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang terpuji dalam Islam," kata Haniffa selepas memberikan sumbangan kepada 251 penerima di Wisma Haniffa, Jalan Masjid India, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Imam Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr Ismail, Kamal Amir Osman, berkata sumbangan yang diberikan ini boleh dijadikan motivasi kepada penerima untuk terus berkhidmat kepada masjid.

"Ini adalah satu langkah yang murni oleh pihak Haniffa Sdn Bhd untuk menghargai usaha imam dan bilal dalam mengimarahkan masjid," katanya.

Imam Masjid Wangsa Maju, Murshidi Abd Hamid, 35, berkata, tidak banyak organisasi atau Individu yang memberi fokus kepada imam dan bilal dalam menghulurkan sumbangan.

"Setakat ini, Haniffa yang memberikan sumbangan kepada imam dan bilal dan ini sedikit sebanyak dapat membantu kebajikan serta meringankan beban kami," jelas Murshidi.

Tahun ini merupakan kali kelima Haniffa Sdn Bhd menghulurkan sumbangan sedemikian.

Haniffa adalah syarikat yang mengusahakan perniagaan tekstil serta mempunyai pasar raya yang menjual barangan berjenama yang terkemuka serta barangan tempatan.












Haniffa Sdn Bhd, Imam, Bilal

Artikel Sebelum

Artikel Lain