suria

Pakar Bius Maut Dalam Kemalangan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang pakar bius berusia 27 tahun maut dalam kemalangan tragik di Sungai Buloh ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Hospital Sungai Buloh pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang berkata Dr Afifah Mohd Ghazi meninggal dunia akibat kecederaan dalaman selepas kereta jenis Kelisa yang dipandunya melanggar pokok pada pukul 3 petang.

"Dia meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ashok Zachariah Philip menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Dr Afifah.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Dr Afifah dalam perjalanan pulang ke rumah sesudah memeriksa beberapa pesakit selepas dipanggil hospital berkenaan.

"Ia satu tragedi untuk keluarganya dan kehilangan kepada profesion ini. Ia ketara menerusi pelbagai mesej pujian dan kesedihan daripada rakan sekerjanya, membuktikan Dr Afifah cukup disenangi dan berdedikasi," katanya.

Dr Afifah, meninggalkan suami Dr Mohd Hafizuddin Azman yang juga doktor bedah neuro di hospital sama.

Dalam perkembangan lain, Dr Ashok berkata MMA menyokong langkah Kementerian Kesihatan menambah jawatan pegawai perubatan di seluruh negara.

"Walaupun pengambilan kakitangan awam sudah dibekukan, kami rasakan pertimbangan khas perlu diberikan untuk bidang perubatan kerana peningkatan jumlah pesakit dan harapan tinggi mereka, selain pengenalan perkhidmatan baharu," katanya.

Sebarang kekurangan akan memberi kesan kepada pesakit serta doktor, dan MMA berharap usaha Kementerian Kesihatan menambah pegawai perubatan akan berjaya, katanya.

MMA, pakar bius, maut

Artikel Lain