suria

PTPTN Jangka Kutipan RM240 Juta Setahun Melalui Potongan Gaji Penjawat Awam

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjangkakan kutipan bayaran balik sebanyak RM240 juta setahun menerusi pelaksanaan mewajibkan bayaran melalui potongan gaji terhadap 163,007 penjawat awam.

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, bilangan penjawat awam itu merupakan mereka yang tidak membuat pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman.

Menurutnya, jumlah pinjaman yang masih belum diselesaikan oleh 163,007 penjawat awam dianggarkan kira-kira RM1.1 bilion.

"Pengumuman untuk mewajibkan bayaran balik melalui potongan gaji merupakan sesuatu yang amat melegakan PTPTN kerana selama ini kutipan tidak mencapai sasaran.

"Berdasarkan jangkaan PTPTN, jika potongan gaji dibuat, kita boleh membuat pungutan RM20 juta sebulan atau RM240 juta setahun," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa PTPTN bersama mahasiswa di sini, Rabu.

Majlis turut dihadiri Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pada Isnin, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata,  kesemua 163,007 penjawat awam yang tidak membuat pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman PTPTN) diwajibkan membuat bayaran melalui potongan gaji.

Tarikh permulaan pembayaran balik PTPTN melalui potongan gaji untuk kementerian dan agensi lain akan dibincangkan pada perjumpaan dengan para Ketua Setiausaha (KSU) dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada Jumaat ini.

Shamsul Anuar berkata, PTPTN akan mengadakan perbincangan dengan perkhidmatan awam dari segi teknikal bagi mekanisme bayaran balik.

"Walaupun mengikut syarat kita sebenarnya ialah kutipan perlu lima peratus daripada gaji.

"Apapun, kita akan melihat berdasarkan kemampuan peminjam kerana kita boleh membuat penstrukturan semula dan penjadualan semula," katanya.

Bulan lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, 163,007 penjawat awam yang tidak pernah membuat pembayaran dan tidak konsisten menyelesaikan pinjaman PPTPTN akan menerima surat pemotongan gaji.

Ali berkata, mengikut pecahan kategori, penjawat awam pelbagai gred (kecuali Gred Jusa C, Gred 54 dan Gred 28) yang tidak pernah membuat pembayaran adalah sebanyak 32,803 orang manakala penjawat awam pelbagai gred yang membuat pembayaran sekali-sekala  (tidak konsisten) adalah sebanyak 130,204 orang.

Pada masa ini, terdapat dua juta peminjam di seluruh negara dan 280,000 daripadanya merupakan penjawat awam.

PTPTN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain