suria

Majlis Ceramah Kit Siang Kecoh

Ketua Biro Aduan PAS Johor Syed Othman Abdullah (bertopi) ditampar ketika mengiringi Kit Siang keluar dari kedai kopi di Taman Megah Ria, Seri Alam, petang Ahad.

JOHOR BARU: Penasihat DAP, Lim Kit Siang dihalang sekumpulan lelaki daripada meneruskan ceramahnya di Taman Megah Ria, Seri Alam di sini, petang Ahad.

Majlis yang dihadiri kira-kira 100 orang di sebuah kedai kopi itu turut menyaksikan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong tampil mengkritik kerajaan.

Tidak puas hati dengan situasi itu, seorang lelaki memasuki kedai kopi itu pada pukul 2.20 petang dan mengarahkan semua hadirin supaya meninggalkan premis berkenaan.

Selepas berbincang, Chin Tong dan Kit Siang bersetuju untuk keluar dari kedai berkenaan, bagaimanapun langkah mereka terhenti apabila dihalang beberapa lelaki.

Malahan, ada yang melempar penyapu, cawan kaca dan menterbalikkan meja di kedai itu.

Penyokong DAP dan anggota polis yang berada dilokasi dengan pantas membentuk rantaian manusia bagi membolehkan Ahli Parlimen Gelang Patah itu masuk ke keretanya.

Bagaimanapun, Kit Siang dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang penyokong DAP mendakwa melihat salah seorang penceroboh mencekik Chin Tong semasa beliau bergegas ke keretanya.

Terdahulu, menerusi WhatsApp telah tersebar mesej meminta supaya ahli Umno mempertahankan hak mereka dan menghalang DAP daripada mengganggu kawasan mereka.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Norazam Saari berkata, kenyataan media akan dikeluarkan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.



Artikel Lain