suria

SK Kiau Dilanda Banjir Lumpur Lebih Teruk

SK Kiau dilanda banjir lumpur yang lebih teruk petang Sabtu.

KOTA KINABALU: Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau yang terletak di kaki Gunung Kinabalu mengalami kerosakan untuk kali kedua dalam masa tiga minggu akibat banjir lumpur.

Kejadian terbaharu berlaku pada pukul 3 petang selepas guru, pelajar, ibu bapa, penduduk kampung dan sukarelawan selesai bergotong-royong selama empat hari untuk membersihkan kawasan sekolah itu berikutan kejadian banjir lumpur yang pertama pada 15 Jun lalu.

Bagaimanapun, insiden pada petang Sabtu itu tujuh kali lebih teruk berbanding terdahulu.

Pengetua sekolah itu, Goromon Rongot berkata, selain lumpur, terdapat juga ranting dan dahan pokok tumbang yang turut mmenyebabkan banyak kerosakan pada bangunan sekolah.

Beliau berkata, antara bangunan yang mengalami kerosakan adalah tiga blok bilik darjah, stor, dan juga pusat pemakanan tambahan.

"Sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kawasan sekolah tenggelam dengan lumpur.

"Kami bernasib baik kerana sebelum ini dua benteng dibina bagi menghalang lumpur mengalir ke kawasan sekolah," katanya.

Goromon juga menjelaskan, kejadian ini menyebabkan ibu bapa bimbang keselamatan anak-anak mereka kerana sekolah tersebut terletak berhampiran Sungai Kadamaian.

"Ramai penduduk kampung meminta agar sekolah itu ditempatkan di kawasan baharu kerana mereka bimbang," katanya.

Beliau juga tidak pasti sama ada sesi persekolahan dapat diteruskan pada Isnin dan ketika ini bilik darjah sementara dibina menggunakan khemah di padang sekolah.

SK Kiau, Gunung Kinabalu, lumpur

Artikel Lain