suria

Pengerusi, CEO Mara Inc 'Direhatkan' Sepanjang Siasatan

Tan Sri Annuar Musa
KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil keputusan untuk 'merehatkan' dua pegawai kanan Mara Inc sementara sepanjang siasatan dijalankan berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikat Mara itu di Australia dan United Kingdom.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, dua pegawai berkenaan ialah Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Datuk Abd Halim A Rahim.

Menurutnya, keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Majlis Mara yang diadakan pada Khamis bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

"Setelah mengambil kira fakta awalan kes ini, Majlis Mara mengambil keputusan untuk merehatkan sementara dua pegawai kanan sepanjang siasatan berjalan, iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc.

"Mereka direhatkan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara integriti dan telus, tanpa sebarang gangguan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Mara di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian berhubung susulan isu kontroversi pembelian Dudley International House dan beberapa lagi hartanah di Australia dan United Kingdom oleh Mara Inc.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengulas lanjut berkata, dua pegawai kanan Mara Inc itu 'dilepaskan' sementara daripada bertugas bagi memastikan mereka tidak dilemparkan dengan pelbagai tuduhan sepanjang siasatan.

Ditanya tempoh 'rehat' itu, Annuar berkata, perkara itu belum dipastikan lagi kerana pada masa ini Mara akan memanggil PwC untuk mengadakan perbincangan mengenai apa yang dianggap bersesuaian dengan matlamat untuk mendapatkan maklumat lanjut dalam siasatan.

Bagaimanapun beliau menegaskan bahawa ia tidak bermakna terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan kedua-dua pegawai kanan itu yang dikesan pada masa ini.

"Ini bertujuan untuk menjaga integriti Mara selari dengan komitmen kita dalam menjalankan penyiasatan yang telus," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain