suria

Azmin Tulis Surat Kepada TPM Selesai Isu Penstrukturan Air

Mohamed Azmin Ali
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali telah menulis surat kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan beberapa isu berbangkit berhubung penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini dapat diselesaikan segera.

Mohamed Azmin berkata proses penstrukturan semula itu berada di peringkat terakhir dan beliau berharap ia dapat dimuktamadkan sebelum Aidilfitri ini.

"Semalam saya sempat bertemu dengan TPM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Khas Mengenai Isu Air Selangor untuk berbincang beberapa isu mengenai penstrukturan air ini dan saya gembira isu itu telah pun selesai.

"Hari ini saya juga telah menulis surat kepada TPM sebagai susulan untuk pastikan satu dua isu lagi dapat diselesaikan segera kerana harapan saya penstrukturan ini dapat dimuktamadkan sebelum raya," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai perkara itu.

Mohamed Azmin turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan kerajaan Persekutuan dalam menjayakan Perjanjian Utama penstrukturan semula industri air di Selangor.

"Terima kasih kepada PM dan TPM kerana memberi kerjasama baik untuk melihat usaha kerajaan negeri disegerakan serta menyokong usaha kerajaan negeri ke arah memuktamadkan perjanjian utama.

"Kerajaan negeri juga akan memberi kelulusan serta menyegerakan projek Langat 2 sekiranya kita mendapat permohonan daripada pihak berkaitan bagi menyelesaikan krisis bekalan air di Selangor dan Lembah Klang," katanya.

Mengulas mengenai gangguan bekalan air di Hulu Langat dan Kuala Langat, Mohamed Azmin memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan melaksanakan catuan air kepada pengguna buat masa ini.

Jelasnya, bekalan air mentah di empangan negeri ini adalah mencukupi.

"Gangguan bekalan air di kawasan terbabit berlaku kerana kekurangan jumlah air terawat...bagaimanapun tiada catuan setakat ini," katanya.

Artikel Lain