suria

Hadi Arah Adun PAS Sokong Azmin, Pertahan Kerajaan Selangor

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
PETALING JAYA: Semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS di Selangor diarahkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali untuk mempertahankan kerajaan negeri yang dibina atas kepercayaan rakyat.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata sokongan itu bagi membolehkan khidmat kepada rakyat terus diberikan dan seterusnya mengekalkan kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini.

"PAS Pusat telah pun memberikan arahan kepada Datuk Iskandar Abdul Samad selaku Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga merupakan Exco Selangor untuk mengarahkan seluruh Adun PAS Negeri Selangor supaya terus bersama dengan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali bagi meneruskan khidmat kepada rakyat dan seterusnya mengekalkan kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Abdul Hadi berkata, kerjasama PAS dengan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

Katanya, pendirian PAS terhadap kerjasama dalam PR adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS yang baharu sahaja berlangsung.

“PAS akan terus dan tetap melaksanakan Tahaluf Siyasi bersama Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah”; dan juga nyata termaktub dalam Perlembagan PAS [Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan PAS ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa iklim kerjasama yang dibina dalam Pakatan Rakyat pada waktu ini adalah pada tahap yang paling mencabar.

"Ia berdepan dengan perbezaan prinsip yang memerlukan penyelesaian yang adil bagi memenuhi aspirasi seluruh rakyat yang mahukan perubahan.

"Bagi PAS, muafakat asal yang dibina adalah kebersamaan dalam perkara yang dipersetujui dan menjadi kepentingan bersama, manakala dalam masa yang sama mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dan prinsip perjuangan parti masing-masing dalam kalangan parti dalam PR," katanya.


Artikel Lain