suria

Bakar Bendera DAP: Umno Akan Ambil Tindakan Jika Ahli Terlibat - Ku Nan

KUALA LUMPUR: Umno akan mengambil tindakan sewajarnya jika ahli parti itu didapati bersalah membakar bendera DAP di pintu masuk Komtar, pada Selasa.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kesahihan berhubung dakwaan insiden itu didalangi Umno akan diketahui apabila polis selesai menjalankan siasatan.

"Ada tuduh Umno buat. Kalau ya kita akan ambik tindakan kepada ahli yang buat, tapi ini bukan sikap Umno, orang boleh guna nama Umno. Betul atau tak kita tak tahu, kita serahkan kepada pihak polis," katanya di sini, Rabu.

Beliau ditemui pada program Jom Shopping Raya 2015 anjuran Pemuda Umno Wilayah Persekutuan di Jakel Mall, di sini.

Protes berhubung penurunan papan tanda Umno di Menara Umno minggu lepas berakhir dengan dua bendera DAP dibakar.

Pada kejadian jam 11.30 pagi itu, beberapa individu dilihat membakar bendera parti politik itu selepas Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyerahkan memorandum berhubung protes terbabit.

Sehubungan itu, Tengku Adnan menasihatkan penduduk Pulau Pinang supaya lebih berhati-hati dengan golongan tertentu yang cuba merosakkan semangat perpaduan antara kaum di negeri itu.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, insiden bendera DAP dibakar didalangi pihak yang mahu melihat perpecahan dan pertelingkahan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Saya nasihatkan supaya berhati-hati dengan "tukang Chong", tukang dalang dan batu api yang akan buat macam-macam cerita untuk naikkan semangat kebencian di kalangan rakyat," katanya.





Artikel Lain