Malaysia, Indonesia Senarai Pendek Dalang Kes MT Orkim Harmony - Semasa | mStar

Malaysia, Indonesia Senarai Pendek Dalang Kes MT Orkim Harmony

Ahmad Puzi (tengah) berjabat salam tanda kerjasama dengan Laksamana Pertama TNI Abdul Rasyid Kachong Komandan Gugusan Keamanan Laut Wilayah Barat dan Laksamana Pertama Maritim UK. Agong Kepala Kantor Keamanan Laut Zon Maritim Barat Batam-Bakamla RepublikIndonesia (kanan) di pejabat APMM Putrajaya, Rabu.

Dikemaskini

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa Malaysia dan Indonesia telah menyenarai pendek dalang yang dikenal pasti terlibat dalam kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, kedua-dua pihak sedang menyiasat secara terperinci dengan mengumpul maklumat dan bukti bagi memburu dalang yang disyaki.

"Kita sudah perkecilkan siapakah mereka (dalang), ada dua tiga orang.

"Kita sedang meneliti pergerakan dan kewarganegaraan mereka, selain menyiasat sama ada mereka yang berkenaan mempunyai kaitan dengan kes rompakan kapal sebelum ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM di sini, Rabu.

MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dan 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor pada 11 Jun lepas.

Setakat ini, lapan suspek yang terlibat dalam kes rompakan kapal MT Orkim Harmony telah  ditangkap dan disiasat oleh pihak berkuasa Vietnam dan sedang menunggu proses ekstradisi ke Malaysia untuk siasatan lanjut, manakala lima lagi suspek masih bebas, sekali gus menjadikan jumlah sebenar yang merompak kapal tangki tersebut adalah seramai 13 orang.

Ahmad Puzi berkata, pihaknya kini telah melengkapkan kira-kira 50 peratus siasatan berhubung kes MT Orkim Harmony selepas mengambil keterangan semua anak kapal termasuk menjalankan siasatan forensik.

Beliau menambah, siasatan lanjut akan dibuat selepas lapan suspek yang kini ditahan pihak berkuasa Vietnam diekstradisi ke Malaysia.

Mengenai usaha menjejaki dalang, Ahmad Puzi berkata, ia akan dilakukan berdasarkan hubungan komunikasi dengan lanun yang terlibat dalam kes MT Orkim Harmony.

"Penentuan ini dibuat berdasarkan kelengkapan komunikasi mereka termasuk komunikasi satelit dan telefon peribadi," katanya.

Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan pada awal pagi Jumaat lalu dan kapal berkenaan tiba di Pelabuhan Kuantan pada pagi Sabtu.




APMM , Ahmad Puzi Ab Kahar , Orkim Harmony

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin

'Rapunzel' tak potong rambut 28 tahun