suria

Pelarian Rohingya Harap Dibenar Bertemu Anak, Isteri Di Depoh Imigresen

Nur Mustapa yang turut ditahan bersama ibunya, Menara Mohamad Shafi di Depoh Tahanan Imigresen, Belantik di Sik.

ALOR SETAR: Bersempena Ramadan, seorang bekas tahanan kem pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand menaruh harapan untuk bertemu dengan anak dan isterinya yang kini ditahan di Depoh Tahanan Imigresen, Belantik di Sik, Kedah.

Muzamil Hamid Hussein, 24 berkata, isterinya, Menara Mohamad Shafi, 22 dan anak lelaki mereka, Nur Mustafa, dua tahun lima bulan ditahan di depoh Imigresen itu selepas bot yang dinaiki mereka mendarat di perairan Langkawi bulan lepas.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan anak dan isteri kira-kira satu tahun lepas, sebelum saya meninggalkan kampung halaman di Maungdaw, Myanmar untuk menaiki bot menuju ke Malaysia.

"Saya harap pihak berkuasa Malaysia memberikan sedikit kelonggaran pada bulan Ramadan dan atas dasar kemanusiaan bagi membenarkan saya bertemu anak dan isteri saya, " kata pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu kepada Bernama, Rabu.

Muzamil yang kini bekerja di Kuala Lumpur diberitahu tentang kehadiran isteri dan anaknya di depoh tahanan Imigresen terbabit oleh seorang rakannya yang baru sahaja dibebaskan daripada pusat itu.

Rakannya dibebaskan daripada depoh itu berikutan statusnya sebagai pemegang kad UNHCR, katanya.

Sepanjang penahanannya di depoh Imigresen itu, isterinya yang merupakan pemegang kad pelarian yang dikeluarkan oleh pejabat UNHCR India diberikan nombor identifikasi "1037", manakala anak lelakinya "1038".

Apa yang lebih membimbangkan, katanya, adalah keadaan kesihatan anak dan isterinya tidak berapa baik pada ketika ini, berkemungkinan berpunca daripada tempoh perjalanan bot yang memakan masa hampir satu bulan untuk ke Malaysia.

"Perasaan saya tidak menentu ketika ini, kerana rakan saya beritahu anak dan isteri saya tidak sihat. Saya diberitahu (oleh rakan), isteri saya sukar untuk bergerak dan berjalan," katanya.

Kali terakhir beliau berhubungan dengan isterinya menerusi telefon adalah sejurus sebelum kedua-dua mereka belayar menaiki bot nelayan terbabit menuju ke perairan Langkawi dua bulan lepas, katanya.

"Itu adalah kali terakhir saya bercakap dengan dia," kata Muzamil, yang turut menghabiskan masa sebulan di atas bot yang membawanya ke Thailand, sebelum ditahan di kem transit sindiket di Padang Besar selama 10 hari.

Beliau berkata, walaupun dimaklumkan oleh persatuan kebajikan, Rohingya Society Malaysia (RSM) Kedah usahanya untuk bertemu dengan anak dan isterinya di depoh Imigresen itu bakal menemui kegagalan, tetapi dia akan tetap mencuba.

Timbalan Pengerusi RSM Kedah Yusof Ali berkata, Jabatan Imigresen setakat ini tidak membenarkan tahanan-tahanan Rohingya di depoh Imigresen itu menerima sebarang pengunjung.

"Saya menerima banyak panggilan daripada keluarga di Myanmar yang mahu mengetahui sama ada anggota keluarga mereka sedang ditahan di depoh Imigresen itu atau sama ada mereka masih hidup atau mati," katanya.

Ia adalah situasi yang menyedihkan di mana anggota keluarga di Myanmar itu gagal menghubungi anak, adik-beradik atau saudara-mara mereka sejurus selepas menaiki bot-bot yang membawa mereka ke Malaysia atau Thailand, katanya.-- Bernama

Artikel Lain