suria

Satu Silo Petronas Di Kerteh Terbakar

Salah satu silo Petronas di Kerteh yang terbakar petang, Selasa.

KUALA LUMPUR: Kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah daripada silo (kapal penyimpanan produk perantaraan) Petronas Chemicals LDPE Sdn. Bhd (PC LDPE) di Kertih kira-kira pukul 5 petang, Selasa.

Menurut kenyataan daripada Petronas, kebakaran itu hanya di PC LDPE dan tidak menjejaskan pengeluaran di kilang PCG yang lain.

"Kebakaran berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Semua pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan mengenai insiden itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa tiada ancaman serta-merta kepada kakitangan di lokasi kejadian atau masyarakat sekeliling.

Siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerosakan ke atas harta benda, katanya.

Sementara itu, Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi Bernama berkata sejurus menerima panggilan mengenai kebakaran berkenaan, pihaknya menghantar sebanyak 35 anggota termasuk unit Hazmat bersama tiga jentera bomba ke tempat kejadian.

Katanya sehingga pukul 9 malam tadi pihaknya telah berjaya mengawal dan memadam api berkenaan namun masih ada tindak balas daripada bahan yang terbakar itu.

"Kami telah menjalankan operasi pemadaman dan penyejukan bagi mengelakkan bahan-bahan kimia yang diproses itu kembali aktif dan menyebabkan kebakaran lagi," katanya.

Beliau berkata, pihak pengurusan kilang itu berjaya menutup injap paip yang terbakar bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan lain.--Bernama



silo, Petronas, Kerteh

Artikel Lain