suria

Guru Tuisyen Didakwa Rangsang Tiga Kanak-Kanak Lakukan Kelucahan Melampau

BALIK PULAU: Seorang guru tuisyen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Rabu atas tiga pertuduhan merangsang tiga kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun untuk melakukan kelucahan melampau dengannya.

Mohd Amin Nur Izwan Jamaluddin, 21, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di rumah sewanya di Lengkok Mahsuri, Bayan Baru dekat sini dari Februari hingga Mei lepas.

Tertuduh, yang juga pembantu pengurusan murid di sebuah sekolah kebangsaan di Bayan Baru dekat sini, didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Edward Chan tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan dia mungkin akan mengganggu semua mangsanya jika dibenarkan jaminan.

Orang Kena Tuduh (OKT) merupakan seorang guru tuisyen kepada kesemua mangsa dan ini juga menyebabkan OKT mempunyai kedudukan 'authority' terhadap mangsa-mangsa. OKT juga adalah seorang penjawat awam di mana kesalahan yang dilakukan itu boleh menunjukkan karektor yang buruk terhadap murid-murid di sekolah," hujah beliau.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Joseph Cheong kemudiannya memohon agar jaminan dibenarkan terhadap Mohd Amin Nur Izwan agar dia boleh balik ke Permatang Pauh kerana dia masih perlu menjalani kehidupan untuk menyara ibu bapa yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Sitarun Nisa membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain