suria

Pusat Tingkatan Enam Bakal Setaraf Program Matrikulasi, Diploma IPT

Alimuddin Mohd Dom

KUALA LUMPUR: Pewujudan Pusat Tingkatan Enam (PTE) mampu meningkatkan kedudukan sistem pendidikan itu sama taraf dengan program matrikulasi dan diploma di institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, inisiatif itu adalah langkah yang baik bagi menjadi mewujudkan pendidikan di Tingkatan Enam lebih kompetitif, sekali gus mampu melahirkan pelajar prauniversiti (pra-U) yang berdaya maju dan berilmu.

Ini akan menarik minat pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk meneruskan pelajaran ke Tingkatan Enam, dan mengubah persepsi negatif terhadap  sistem pelajaran itu yang dianggap hanya seperti sekolah harian biasa, katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai pelancaran pusat berkenaan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menggabungkan kelas-kelas Tingkatan Enam dari sekolah arus perdana di satu kawasan dengan guru khas serta kaedah pembelajaran yang selari dengan di universiti.

Alimuddin berkata walau bagaimanapun bagi memastikan taraf pendidikan dapat dipertingkatkan seperti yang dirancang, para guru Tingkatan Enam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan ilmu dari semasa ke semasa supaya keupayaan mereka dapat mengajar dengan lebih efektif lagi.

"Mungkin mereka (guru Tingkatan Enam) boleh pergi menjalani latihan tertentu atau diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sama ada Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zakaria Kasa pula berpendapat sistem pendidikan Tingkatan Enam yang baru itu mampu mempertingkatkan lagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kepada yang lebih berkualiti dan cemerlang.

"Ini adalah kerana pelajar akan lebih fokus belajar dengan kaedah pembelajaran lebih tersusun dan menarik serta berasa lebih seronok untuk belajar sebab lebih bebas berpakaian berbeza dengan sekolah biasa termasuk silibus pembelajaran tidak hanya berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula, menyifatkan PTE diibaratkan sebagai "satu nafas baharu kepada pembelajaran Tingkatan Enam yang sememangnya kurang menarik perhatian pelajar lepasan SPM sebelum ini.

"Ramai yang pilih hendak masuk IPT...jadi dengan cara ini akan menarik lebih ramai pelajar sambung ke Tingkatan Enam," katanya.Noor Azimah berkata, selain itu, PTE juga akan menjadikan pelajar lepasan STPM bersedia sepenuhnya untuk melangkah masuk ke alam universiti.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Datuk Lok Yim Pheng berkata sistem pendidikan Tingkatan Enam yang baharu itu berkeupayaan untuk mematangkan pelajar.

Mengenai kesediaan guru terhadap sistem pengajaran dan pembelajaran yang baharu ini, Lok berkata guru sentiasa bersedia untuk menghadapi perkembangan terbaharu transformasi pendidikan negara ini dan ianya tidak menjadi masalah.

"Yang penting kena ada laluan kerjaya yang dimantapkan untuk para guru," katanya.-- Bernama




Artikel Lain