suria

Empat Pengedar Dadah Ditahan Ketika Sibuk 'Berniaga'

GEORGE TOWN: Empat lelaki disyaki pengedar dadah ditahan ketika cuba menjalankan urus niaga dadah di tempat parkir kenderaan sebuah pusat beli-belah di Bandar Perai Jaya dekat sini, 12 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggotanya bersama JSJN Bukit Aman menahan dua daripada suspek di dalam kereta Hyundai Sonata pada 5.45 petang.

Beliau berkata susulan penahanan suspek, polis menemui 18 paket lut sinar berisi dadah ketamin seberat satu kilogram setiap satu dianggar bernilai RM750,000 disorok dalam but kereta berkenaan.

"Dua lagi lelaki ditahan dalam kereta masing-masing dalam tempoh 10 minit tidak jauh dari suspek pertama ditahan dan kesemua mereka didapati datang secara berasingan," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Beliau berkata but kereta itu telah diubah suai dan polis nyaris terpedaya kerana tempat simpanan dadah berkenaan dilindungi sistem pembesar suara.

"Terdapat satu 'remote control' dekat dengan pembesar suara, apabila kita tekan barulah bahagian yang mengandungi dadah itu terbuka," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai telah beroperasi selama enam bulan dan sering menjadikan ruangan parkir bawah tanah itu sebagai tempat kegiatan mereka.

Guan berkata polis turut menyita tiga kereta lain yang dinaiki suspek iaitu Nissan Teana, Honda Civic dan Perodua Myvi selain barang kemas bernilai RM15,800 dan wang tunai berjumlah RM10,311.

Beliau berkata suspek berusia antara 24 dan 45 tahun itu ditahan reman sehingga 18 Mei ini untuk siasatan lanjut dan polis masih menyiasat sama ada terdapat rakan jenayah lain yang terlibat.

"Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah namun hasil semakan hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah," katanya.

Dadah, Ketamin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain