suria

Lelaki Mengamuk Lepaskan Tembakan

KOTA BAHARU: Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana melepaskan tembakan ke arah orang ramai di sebuah kedai makan di Rantau Panjang pada Rabu malam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, suspek yang memandu kereta dipercayai telah melanggar sebuah kereta yang dipakir di kawasan terbabit dan menyebabkan pelanggan kedai berkenaan marah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata orang ramai kemudiannya membaling batu ke arah kereta suspek menyebabkan cermin keretanya pecah lalu suspek keluar dari kenderaannya dan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senjata tiruan ke arah kira-kira 20 pelanggan di kedai berkenaan.

Selepas itu, suspek melarikan diri, katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah-Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Khamis.

Beliau berkata suspek ditahan pada 7 pagi tadi di rumah neneknya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas.

"Suspek menggunakan senjata tiruan dan menggunakan peluru galas bebola, kita juga berjaya rampas kelongsong peluru yang digunakan suspek.

"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan ketika ditahan suspek positif dadah jenis methamphetamine," kata Mazlan.

Mazlan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata lima anggota kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan samun berkumpulan di beberapa daerah di negeri ini ditahan di Cheras, Selangor pada 7 dan 8 Mei lepas.

Pada majlis itu, ACP Ahmad Taufek Abdullah yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Staf Siasatan I Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dilantik sebagai KJSJ Kelantan yang baharu menggantikan ACP Lai Yong Heng yang bersara.

Rantau Panjang, Amuk

Artikel Lain