suria

Kerajaan DAP P Pinang Guna DUN Kritik Kerajaan Pusat

GEORGE TOWN: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada Khamis menempelak tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang sering kali membangkitkan isu-isu nasional berbanding isu tempatan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid berkata wakil-wakil rakyat kerajaan negeri dilihat seolah-olah menjadikan sidang DUN sebagai medium untuk mengkritik pentadbiran kerajaan persekutuan.

"Apabila kami melihat usul yang dikemukakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang, kami berasa sungguh kecewa. Ia langsung tidak berkisar mengenai isu rakyat Pulau Pinang.

"Mereka lebih gemar membincangkan isu nasional seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan dan teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya pada sidang akhbar di luar DUN di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya memanfaatkan sidang DUN itu untuk membincangkan pelbagai isu tempatan yang perlu diberi perhatian serius termasuk masalah penggondolan tanah di beberapa kawasan di negeri ini, banjir dan 'middle bank'.

Sementara itu, ADUN Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah berkata isu nasional yang sering mendapat perhatian itu telah menutup isu-isu tempatan yang perlu ditangani oleh kerajaan negeri.

Beliau turut mempersoalkan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membangkitkan isu-isu tempatan terutama isu alam sekitar yang kurang aktif sejak DAP mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya minta NGO tolong keluar. Dulu masa kerajaan BN, NGO main peranan cukup kuat. Mana pergi NGO-NGO ini. Hari ini kita ada isu yang sama seolah-olah ini masalah kerajaan BN sahaja dan saya minta NGO kena tampil bantu penduduk Pulau Pinang," katanya.

Dalam pada itu, Shah Headan mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung status kerja tanah yang giat dijalankan di Bukit Laksamana, Teluk Bahang dekat sini.

Beliau berkata aktiviti penggondolan bukit berhampiran empangan Teluk Bahang itu berlaku sejak beberapa tahun lepas.

"Maklumat yang saya peroleh menunjukkan kawasan itu diwartakan sebagai tanah bukit oleh pejabat tanah dan galian. Ini bermakna, ia langsung tidak boleh diteroka atau dimajukan," katanya.

DUN, DAP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain