suria

Sokongan Terhadap BN Di Permatang Pauh Meningkat

BUKIT MERTAJAM: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin Barisan Nasional (BN) mampu mencipta sejarah baharu dengan memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata keyakinan itu berdasarkan kepada sokongan dan penerimaan daripada pengundi Permatang Pauh terhadap parti itu yang dilihat semakin meningkat sepanjang program turun padang yang dianjurkan.

"Tanda-tanda (kemenangan) itu ada. Rata-rata orang kampung yang saya temui pada program walkabout (tinjauan mesra) menyatakan datuk seri jangan bimbang sangat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama usahawan bumiputera Pulau Pinang, di sini, Ahad.

Beliau berkata selain itu isu-isu berbangkit yang membelenggu Pakatan Rakyat juga menyumbang kepada peningkatan sokongan itu memandangkan ada dalam kalangan pengundi sudah mula tidak mempercayai parti-parti dalam pakatan pembangkang.

"Kita dapat melihat bagaimana pihak lawan dalam keadaan agak bercelaru di antara parti PKR dan PAS, PAS dan DAP nampak ketara jentera mereka tidak selari.

Saya yakin ini merupakan petunjuk bahawa pengundi nak cari parti, sokong parti yang bersatu iaitu Barisan Nasional," katanya.

Mohd Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata pengundi di Permatang Pauh mahukan seorang wakil rakyat yang amanah, konsisten dan fokus dalam memperjuangkan nasib penduduk di kawasan itu.

Katanya calon BN bagi PRK Permatang Pauh Suhaimi Sabudin mampu memikul tanggungjawab itu dengan baik kerana beliau merupakan anak tempatan yang akan sentiasa berada di kawasan Parlimen itu setiap masa.

"Apa yang penting mendampingi para pengundi dan menemui mereka seramai yang mungkin, engage with them (dampingi mereka). Kita yakin dengan adanya pelancaran manifesto BN, ini menampakkan komitmen calon kita dalam membantu masyarakat di peringkat Permatang Pauh.

"Ia terbukti bahawa beliau mempunyai hasrat, niat dan cita-cita sebagai anak watan Permatang Pauh untuk membela dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan kesihatan. Insya-Allah kalau diberi amanah, saya yakin kerana beliau biasa kerja, rajin kerja selaku Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh," katanya.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Dr Wan Azizah (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan setelah disabitkan kesalahan liwat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Permatang Pauh, BN

Artikel Lain