suria

Perhimpunan #KitaLawan Bermula

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menyertai perhimpunan #KitaLawan, Sabtu.

PETALING JAYA: Kumpulan kecil penunjuk perasaan berhimpun di Pasar Seni untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan #KitaLawan yang dijadualkan diadakan di Kompleks Sogo pada 4 petang, Sabtu.

Mengenakan baju hitam, kumpulan itu mula bergerak ke kompleks beli-belah itu pada jam 3 petang.

Kumpulan itu membabitkan ahli Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Kuala Langat, Hulu Langat, selain aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Difahamkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli turut menyertai kumpulan itu.

Sementara itu, di Stesen LRT Masjid Jamek pula, satu lagi kumpulan berkumpul untuk menyertai perhimpunan sama.

Di kalangan penunjuk perasaan juga ada yang memakan kemeja t tertulis #kitalawan, selain membawa sepanduk sambil melaungkan "Reformasi" dan "Bebas Anwar".

Pada perhimpunan Sabtu ini, dijangka kumpulan berkenaan akan bergerak ke arah Sogo dari tiga lokasi iaitu Masjid Jamek, Pasar Seni dan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut.

Perhimpunan #KitaLawan bertujuan menunjukkan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan matlamat untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa membebaskan pemimpin PKR yang dipenjarakan lima tahun kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 28 Februari lalu, penganjur perhimpunan itu menolak tawaran polis supaya ia diadakan di stadium.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, penganjur tidak mengemukakan permohonan untuk mengadakan perhimpunan itu dan memberi amaran kepada masyarakat umum untuk tidak menyertai perhimpunan haram itu.



Artikel Lain