suria

Gagal Patuhi Garis Panduan Penggunaan Racun Punca Air Tercemar Di Cameron Highlands

KUALA LUMPUR: Sikap tidak bertanggungjawab dan kegagalan pengusaha kebun sayur mematuhi garis panduan penggunaan racun makhluk perosak adalah punca air sungai dan paip di Cameron Highland dicemari racun yang diharamkan.

Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM) Profesor Dr Rita Muhamad Awang berkata pengusaha terbabit perlu mematuhi garis panduan yang disediakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengelak pencemaran air daripada terus berlaku di pusat peranginan itu.

"Senarai jenis racun juga ada di dalam garis panduan itu. Kesedaran penting demi keselamatan pengusaha, kesihatan pengguna dan penjagaan alam sekitar," katanya ketika dihubungi Bernama, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan air sungai dan air paip di Cameron Highlands dicemari racun yang diharamkan.

Katanya, pengusaha tanaman di kawasan itu perlu peka dan sedar tentang kesan yang bakal ditanggung akibat penggunaan racun makhkuk perosak yang mengandungi bahan berbahaya.

"Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada alam sekitar dan pengguna," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Noor Azhar Mohamed Shazili berkata pengusaha tanaman di kawasan itu perlu diberi pendidikan berterusan mengenai bahaya penggunaan racun makhluk perosak yang diharamkan.

Katanya, kesedaran akan lahir daripada pendidikan yang diberikan namun pengawasan berkala oleh pihak berwajib penting bagi memastikan masalah itu tidak berulang.

"Perlu ada pendidikan jika perkara ini berterusan. Pengusaha perlu diberitahu had penggunaan racun. Jika perkara begini dibiarkan, kawasan itu mungkin tidak dapat diselamatkan daripada pencemaran," katanya.

Noor Azhar berkata, MPN sering mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri terbabit bagi membincang dan mencari penyelesaian isu alam sekitar dan difahamkan bilangan anggota penguat kuasa telah ditambah bagi memantapkan lagi penguatkuasaan termasuk memantau penjualan racun di kawasan itu.


Artikel Berikut

Artikel Lain