suria

SPDP Mahu Calon Daripada Parti Komponen BN Sahaja

Tiong King Sing

SIBU: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mahu calon boleh menang bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-11 akan datang, hanya dipilih daripada kalangan parti komponen BN.

Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan perkara itu termaktub di bawah persefahaman parti-parti komponen BN Sarawak.

"Calon mestilah hanya daripada kalangan parti-parti komponen Barisan Nasional, bukan daripada kalangan parti luar daripada Barisan (BN)," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina 2015 anjuran SPDP Wilayah Tengah di Dewan Suarah di sini, Sabtu.

Dianggarkan 5,000 orang menghadiri rumah terbuka itu dari 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini menyatakan BN Sarawak kemungkinan turut mencalonkan calon boleh menang daripada kalangan parti mesra BN iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Tenaga Sarawak (Teras) pada pilihan raya negeri akan datang.

Sementara itu, King Sing melahirkan rasa gembira dengan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir pada majlis rumah terbuka itu.

"Ini kali pertama kami adakan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di Sibu. Pada tahun depan kami akan adakan di tempat yang lebih sesuai supaya memudahkan lebih ramai lagi rakyat datang ", katanya.


SPDP, BN, Sarawak, Tiong King Sing

Artikel Lain