suria

Gelaran 'Datuk' Jackie Chan Mampu Tingkat Industri Pelancongan - Nazri

Datuk Seri Nazri Aziz
PETALING JAYA: Malaysia akan mendapat manfaat dengan menganugerahkan gelaran 'Datuk' kepada Jackie Chan kerana bintang dan pembikin filem dari Hong Kong itu mampu menarik publisiti positif dan meningkatkan industri pelancongan negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata penganugerahan itu sendiri adalah satu publisiti yang baik untuk Malaysia, apabila ia mendapat liputan secara meluas oleh media antarabangsa.

"Saya menyokong sepenuhnya penganugerahan tersebut kepada beliau," katanya.


"Beliau adalah seorang tokoh utama dalam industri perfileman Cina yang mempunyai pertalian rapat dengan Malaysia, jadi saya sangat pasti ia akan membantu dalam mempromosikan negara dan industri pelancongan kita," kata Nazri.

Pada Ahad, Chan telah dianugerahkan darjah Panglima Mahkota Wilayah oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sempena Hari Wilayah Persekutuan.

Pengarah dan pelakon itu terlibat dalam penggambaran filem Police Story 3 yang sebahagiannya dijalankan di Kuala Lumpur pada 1992 dan telah menghadiri majlis perasmian projek E-Village di Cyberjaya pada 2000.

Chan adalah bintang filem negara luar kedua yang dianugerahkan gelaran Datuk selepas ikon filem India Shah Rukh Khan menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka daripada Gabenor Tun Mohd Khalil Yaakob pada 2008.

Dua filem beliau iaitu One 2 Ka 4 (2001) dan Don 2 (2011) sebahagiannya menjalani penggambaran di Malaysia.

Seorang lagi artis asing untuk diberi gelaran Datuk adalah penyanyi Indonesia Rossa, yang menerima anugerah Darjah Indera Mahkota Pahang pada tahun lepas.

Pengerusi Tourism Malaysia Tan Sri Dr Ng Yen Yen berkata gelaran Datuk untuk Chan akan membantu Malaysia memandangkan bintang filem itu mempunyai peminat global.

"Secara tidak langsung, ia boleh membantu meletakkan Malaysia di kedudukan positif, dan satu perkataan publisiti daripada beliau akan menjadi lebih bernilai lebih daripada 10 perkataan daripada kita," katanya.

Ahli Parlimen Batu kawasan Kuala Lumpur, Tian Chua, berkata pihak berkuasa yang mencadangkan Chan untuk penganugerahan itu tidak hanya memikirkan tentang bagaimana beliau boleh membantu meningkatkan industri pelancongan.

"Chan adalah seorang lagenda bagi mereka yang berada dalam generasinya di seluruh Asia dan anugerah seperti itu menunjukkan bahawa banyak yang telah dicapainya," katanya.

Selain pujian, sesetengah rakyat Malaysia menjadikan internet sebagai medan untuk menyatakan keraguan mereka sama ada Chan berhak menerima anugerah itu.

Mereka termasuklah pengarah filem tempatan dan pelakon Afdlin Shauki, yang menulis di laman Facebooknya bahawa anugerah Datuk perlu diberikan kepada rakyat Malaysia yang pencapaiannya adalah sumber kebanggaan kepada negara.

Afdlin berkata, walaupun meminati Chan, gelaran Datuk itu tidak akan bernilai bagi seorang bintang antarabangsa.

Kemudian, dalam posting Facebooknya, Afdlin menjemput Chan untuk datang ke Malaysia dan membantu membina industri filem di negara ini.

Artikel Sebelum

Guan Eng Jawab PAS Hari Ini?

Artikel Lain