suria

Terserah Kepada Jakim Untuk Berdebat Dengan Eric - Shabery

Ahmad Shabery Cheek.
JAKARTA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata terserah kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menganjurkan debat dengan peguam Eric Paulsen yang mendakwa jabatan itu mempromosikan faham eksremis di Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata Pengarah Eksekutif, Lawyers For Liberty itu dikatakan bersetuju untuk berdebat mengenai dakwaannya dan Jakim seharus mengambil pendekatan persuasif dan kemampun meyakinkan pihak lain (soft-power) untuk memberi penjelasan kepada Eric mengenai salah fahamnya itu.

Beliau berkata pihaknya cuma bersedia menyediakan platform iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi penganjuran debat itu.
 
"Dialog dan perbahasan yang sihat perlu digalakan untuk membetulkan mana-mana pihak yang membuat provokasi dan Jakim boleh menerangkannya secara diplomatik.
 
"Kita mempunyai platform untuk membantu Jakim menjelaskan kerja-kerja mengenai hal ehwal Islam yang dilakukannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dengan pengurusan MetroTV di sini hari ini.

Beliau berkata cadangannya untuk Jakim menganjurkan debat itu adalah ekoran terdapat desakan agar Eric dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan laman sosial Twitternya untuk membuat provokasi.

Shabery berkata sebenarnya tidak semua perkara perlu dikenakan tindakan undang-undang malah ada perkara yang lebih baik diberi penjelasan supaya masyarakat lebih jelas dan dapat membuat penilaian.

Eric dalam kenyataan medianya hari ini dipetik sebagai berkata beliau menyambut baik cadangan Shabery itu.

Jumaat lepas, Eric mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi Twitternya dengan berkata: "Jakim sedang menggalakkan ekstremisme pada setiap Jumaat dan kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu membanteras ekstremisme di Malaysia".

Berikutan itu, Eric ditahan reman oleh polis Isnin lepas sebelum dibebaskandua hari kemudian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata kertas siasatan berhubung kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara tidak lama lagi.
Eric Paulsen, Jakim, Shabery Cheek

Artikel Lain