suria

Rempuhan Shanghai: Wisma Putra Sahkan Pelajar Malaysia Maut

PETALING JAYA: Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia maut dalam insiden rempuhan di Chen Yi Square, Shanghai pada malam sambutan Tahun Baru.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, mangsa dipercayai merupakan seorang pelajar di sebuah universiti di Hangzhou namun namanya tidak dapat didedahkan sehingga keluarganya dimaklumkan mengenai berita itu.

"Usaha untuk memaklumkan keluarga mangsa di Malaysia sedang dilakukan," kata kementerian.

Menurut kenyataan itu, seorang lagi rakyat Malaysia, Ooi Hooi Yi, 20, cedera dalam insiden tersebut yang mengorbankan 35 orang dan mencederakan 48 yang lain.

"Dia diberikan rawatan di Hospital Changzheng, Shanghai.

"Pegawai Konsulat Jeneral Malaysia di Shanghai telah melawatnya di hospital dan dia dilaporkan dalam keadaan stabil," menurut kenyataan itu lagi.

Pihak konsulat turut membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang lain terlibat dalam insiden itu.


Artikel Lain