suria

Sharifah Zarah KSU Baharu KKMM

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyampaikan surat pelantikan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, yang dilantik berkuatkuasa Isnin Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. Foto: BERNAMA

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam(Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang baharu mulai Isnin.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam kenyataan berkata, Sharifah Zarah, 58, menggantikan Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi yang telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan. 

"Sharifah Zarah berpengalaman luas dalam bidang pembangunan sosial, sains dan teknologi, hubungan antarabangsa serta pengurusan sumber manusia. 

"Saya berkeyakinan bahawa kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki beliau akan membolehkan beliau memimpin dan meneruskan kecemerlangan KKMM sebagai peneraju wadah komunikasi dan multimedia negara selaras dengan Agenda Transformasi Nasional," katanya.

Sharifah Zarah, berkelulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Perancangan Sosial dari University of Leeds, United Kingdom; Ijazah Sarjana dalam bidang Sumber Manusia dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah dan Pengajian Melayu dari Universiti Malaya.

Beliau mula menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981 dan telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 33 tahun.

Antara jawatan yang pernah disandang Sharifah Zarah ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) dan Setiausaha Bahagian Kanan (Perancangan) di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perhubungan Antarabangsa KPWKM.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri/Penasihat Kedutaan Malaysia di New York; Pengarah Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Wanita (Hawa), Jabatan Perdana Menteri; Penolong Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Wanita, Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat; Penolong Setiausaha, Unit Perkhidmatan Tentera, Bahagian Perkhidmatan, Kementerian Pertahanan dan Penolong Pengarah, Bahagian Perkhidmatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

Sharifah Zarah, KSU, KKMM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain