suria

Tindakan Alvin Muat Naik Status Hina Institusi Diraja Dikesali

KEMAMAN: Tindakan blogger kontroversi Alvin Tan yang dipercayai memuat naik kenyataan yang mempersendakan institusi beraja melalui Facebooknya, amat dikesali.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengulas tindakan Alvin atau nama sebenarnya, Tan Jye Yee, 26, berkata dia tidak sepatutnya membuat pelbagai kenyataan termasuk membantah keputusan istana kerana ia boleh mengguris perasaan pelbagai pihak tentang pandangan yang diberikan.
 
"Dia sepatutnya berfikir dan tahu akibatnya tentang apakah sikap dan pandangan orang ramai tentang kenyataan dibuatnya melalui posting dari luar negara ketika sedang bersembunyi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama lebih 300 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Kemaman dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Pengarah JASA Terengganu Adli Kesah.

Alvin dipercayai memuat naik kenyataan itu di Los Angeles, California, Amerika Syarikat berdasarkan catatan lokasi di laman Facebooknya, yang mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran kepada mana-mana pihak.

Status tersebut dipercayai ditujukan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 Nov lepas.

Sebelum ini, Alvin mengeluarkan kenyataan kesat terhadap pemimpin negara dan bertindak melarikan diri ke luar negara pada September lepas.

Ahmad Shabery berkata kerajaan telah mengambil tindakan mahkamah terhadap Alvin, dan tindakannya yang melarikan diri ke Los Angeles bagi mendapatkan suaka politik dilihat sebagai pengecut.
 
"Kerajaan tidak pernah menghalau Alvin dari negara ini sebaliknya beliau sendiri menghukum dirinya dengan melarikan diri memohon suaka politik di Amerika Syarikat," katanya.

Pada 18 Julai 2013, Alvin bersama pasangannya, Vivian Lee, 26, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan di laman Facebook mereka.

Susulan itu, pada 22 Ogos lepas, mahkamah sama mengeluarkan waran tangkap selepas Alvin gagal hadir bagi sebutan kesnya.

Alvin, hina institusi diraja

Artikel Lain