suria

Hormati Lagu Negaraku Setiap Kali Dimainkan

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia perlu menghormati lagu kebangsaan setiap kali ia dimainkan tanpa mengira dimana sahaja kita berada, kata pemimpin Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat di negara ini untuk menghormati lagu kebangsaan dalam apa jua keadaan sekali pun.

"Di mana sahaja anda berada, setiap kali anda mendengar lagu kebangsaan dimainkan, berhenti seketika daripada melakukan kerja anda dan tunjukkan rasa hormat dengan berdiri. Ini apa yang telah diajari di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen Kuching Chong Chieng Jen dari parti DAP,  yang mengecam lagu Negaraku dimainkan di pawagam semasa sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, dalam akaun Facebooknya.

Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, rasa hormat terhadap lagu kebangsaan dalam diri seseorang hadir secara semula jadi tanpa dipaksa.

"Apa yang dikatakannya adalah salah," katanya merujuk kenyataan Chieng Jen yang dimuat naik di akaun Facebooknya pada Selasa.

Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, kenyataan Ahli Parlimen DAP itu membuktikan tahap pemikiran parti tersebut yang bertujuan untuk menyemai perasaan kebencian di kalangan masyarakat.

"Saya terkejut seseorang wakil rakyat boleh menulis kenyataan seperti itu. Ini antara satu contoh jelas yang mencerminkan pemikiran pemimpin DAP yang bukan sahaja mewujudkan rasa benci di kalangan rakyat tetapi juga kepada negara ini," katanya.

Beliau berkata, kenyataan tersebut harus dibidas dan Chieng Jen tidak layak menjadi seorang Ahli Parlimen.

"Saya menggesa pengundi supaya menolaknya pada Pilihan Raya Umum akan datang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan menyifatkan kenyataan Chieng Jen sebagai 'tidak enak' dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat.

"Ia semenangnya kenyataan yang tidak enak, lebih-lebih lagi dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat ketika Malaysia meraikan hari penting untuk negara ini," katanya.

Namun, Kamalanathan berkata, beliau gembira kerana Chieng Jen telah memohon maaf dan menarik semula kenyataan tersebut.

Lagu Negaraku, Chong Chieng Jen

Artikel Berikut

Artikel Lain