suria

PAS Itu Agama, BN Cuba 'Pecah' Tanggapan Pengundi

Ahmad Maslan (dua, kiri) beramah mesra dengan orang ramai ketika mengadakan lawatan di Kampung Bendang Pak Yong, Pengkalan Kubor Isnin lalu.

TUMPAT: Barisan Nasional (BN) menerusi Umno akan berusaha mengubah tanggapan sesetengah golongan pengundi di Pengkalan Kubor yang masih melihat PAS itu sebagai satu agama.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata walaupun telah diberikan bantuan oleh kerajaan Persekutuan, masih terdapat pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang menjadikan PAS sebagai akidah.

"Mereka menganggap PAS itu satu akidah yang tidak boleh diganggu gugat dalam kehidupan.

"Kita telah berikan macam-macam bantuan namun kelihatan mereka masih menganggap PAS itu sesuatu yang lekat dengan akidah," katanya kepada pemberita di Pusat Media di sini, Selasa.

Katanya, BN dan Umno kini sedang mencuba 'memecahkan' tanggapan itu dengan memberikan contoh pengundi-pengundi di kawasan Geting yang kebanyakan penduduknya terdiri daripada nelayan.

"Walaupun PDM di kawasan pantai misalnya dibantu dengan baik oleh kerajaan Pusat, tapi kelihatan mereka tak hiraukan sangat bantuan itu.

"Ini yang kita cuba nak pecahkan, di kawasan Geting misalnya yang pekat dengan kefahaman itu.

"Kita juga mahu memecah kebuntuan mereka itu dengan dengan menyebut PAS bukan agama, PAS juga parti politik macam Umno, PKR dan DAP," katanya.

Antara bantuan yang diberikan termasuklah subsidi diesel, bantuan wang sebanyak RM200 sebulan dan insurans.Dalam pada itu, beliau juga menyentuh mengenai calon PAS yang pernah mengikuti kursus di Institut Kemahiran Mara (IKM).

"Saya nak ingatkan calon lawan, beliau boleh jadi kontraktor kerana beliau masuk IKM Sungai Petani, belajar binaan sebab ada IKM.

"Ini (IKM) wujud kerja Umno dan BN. Kalau tak dia sendiri tidak nikmati apa yang beliau ada sekarang," katanya.

PRK Pengkalan Kubor

Artikel Lain