suria

PRK Pengkalan Kubor: PAS Umum Calon Esok

KOTA BAHARU: PAS Kelantan akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada Khamis.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub berkata pada masa ini, PAS sedang membuat penelitian akhir senarai calon bagi PRK itu yang akan diadakan 25 September ini.

"Apa yang pasti, calon itu adalah anak tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, Rabu.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata parti itu akan mengumumkan calon itu bersama-sama pimpinan parti Pakatan Rakyat di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Beliau berkata PRK itu dijangka sengit memandangkan PAS mahu merampas semula kerusi itu daripada Barisan Nasional.

Namun, beliau memberi jaminan proses itu akan berlangsung dalam suasana aman dan saling menghormati.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Sementara itu, Ahmad berkata kemelut PKR Selangor tidak memberi kesan kepada Pakatan Rakyat di Kelantan, yang disifatkan masih kukuh.
PAS, PRK Pengkalan Kubor, Ahmad Yakub

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain