suria

Banjir Di India: 38 Pelajar, 19 Pelancong Malaysia Dihantar Pulang

KUALA LUMPUR: Seramai 38 pelajar dan 19 pelancong rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Jammu dan Kashmir di India, akan dihantar pulang ke tanah air.

"Seramai 11 pelajar Malaysia akan berlepas ke tanah air malam ini dan dijangka tiba pada 5 pagi esok," kata Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, Chitra Devi Ramiah ketika dihubungi Bernama, Rabu.

Beliau berkata kesemua pelajar Malaysia itu kini ditempatkan di pusat penempatan sementara banjir manakala 17 pelancong rakyat Malaysia berada di sebuah hotel di Srinagar dan dua lagi pelancong berada di kediaman ejen pelancongan mereka di sebuah kaawsan tinggi.

Kesemua pelancong itu kini berusaha mendapatkan tiket penerbangan untuk ke New Delhi, katanya.

Menurutnya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman telah menghubungi Menteri Hal Ehwal Luar India Sushma Swaraj semalam bagi memohon bantuan kerajaan India untuk mengenal pasti lokasi banjir dan menghubungi rakyat Malaysia yang terperangkap di kawasan itu untuk dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

"Kerajaan India dan semua agensi tempatan secara berterusan menghubungi kami dan membantu pihak Konsulat menyelaraskan usaha menyelamat rakyat Malaysia," katanya.

Banjir yang melanda wilayah Himalaya itu sejak lapan hari lepas telah meragut lebih 400 nyawa setakat ini selain memusnahkan jambatan, prasana telekomunikasi dan menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus.

Ramai rakyat Malaysia terperangkap di Srinagar, ibu negeri Jammu dan Kashmir yang merupakan antara kawasan paling teruk dilanda banjir.

Media India melaporkan kira-kira 23,000 orang telah diselamatkan setakat ini sementara 700,000 orang masih terperangkap di bandar itu yang kebanyakan kawasannya masih ditenggelami air.


Kashmir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain