suria

Wisma Sedia Hantar Balik Rizalman, Tunggu Permohonan Rasmi

Muhammad Rizalman Ismail
KUALA LUMPUR: Wisma Putra kini sudah bersedia untuk menghantar balik bekas pembantu staf pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand bagi menghadapi pertuduhan pecah rumah dan serangan dengan niat merogol.

"Kami sedang menunggu permohonan rasmi daripada kerajaan New Zealand untuk menghantar dia balik," kata sumber Wisma Putra.

Menjelaskan lebih lanjut, sumber itu berkata, Pegawai Warran II Muhammad Rizalman Ismail tidak dapat dihantar ke negara berkenaan tanpa permohonan rasmi.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia dan New Zealand berbincang tentang prosedur perundangan yang diperlukan untuk membolehkan Muhammad Rizalman berdepan pertuduhan itu dan ini akan dilakukan sejajar dengan undang-undang antarabangsa serta dalam negeri.

Muhammad Rizalman, 38, ditahan polis New Zealand pada 9 Mei tahun ini dan dihadapkan di mahkamah pada hari berikutnya bagi menghadapi tuduhan melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita berumur 21 dengan niat untuk merogol.

Bagaimanapun, beliau sekeluarga dibawa pulang ke Malaysia pada 22 Mei dan Kementerian Pertahanan mengambil tindakan segera untuk menyiasat kes itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman memberitahu sidang akhbar di Putrajaya pada 1 Julai bahawa Muhammad Rizalman dan keluarganya pulang ke Malaysia dengan persetujuan pihak New Zealand.

Malahan, persetujuan juga dibuat untuk menghantar Muhammad Rizalman balik ke negara berkenaan untuk membantu siasatan, bagaimanapun tiada tarikh ditetapkan.

Anifah berkata, dalam perbincangan tentang perkara itu antara pegawai Malaysia dan New Zealand pada 12 Mei, pihak New Zealand menawarkan pilihan bagi tertuduh untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Menteri Luar New Zealand Murray McCully dilaporkan berkata, kemungkinan wujud kekaburan dalam komunikasi antara kedua-dua negara dalam menangani kes itu.



Artikel Lain