suria

MH17: Doa, Bertafakur Ketika Jenazah Di Dalam Kenderaan

SEPANG: Upacara doa dan bertafakur selama satu minit secara serantak akan dilakukan di antara pukul 10.45 pagi hingga 11.15 pagi sebaik sahaja semua jenazah dimasukkan dalam kenderaan jenazah masing-masing, jelas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

"Waktu yang setepatnya untuk berdoa dan bertafakur akan diumumkan secara langsung pada hari istiadat melalui siaran radio dan televisyen," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) pada Khamis.

Menurut Hishammuddin, 20 jenazah akan dibawa pulang dari Amsterdam, Belanda melibatkan 11 orang beragama Islam dan sembilan orang bukan Islam.

"Jumlah ini melibatkan 11 penumpang serta sembilan anak kapal dan kru terknikal. Daripada 20 jenazah ini, 17 akan diterima dalam keranda manakala 3 lagi jenazah akan dibawa dalam bekas abu iaitu jenazah Elizabeth Ng, Lee Hui Pin dan Angeline Premilla," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut hadir pada sidang media ini berkata, dua lagi jenazah melibatkan rakyat Malaysia telah dikenalpasti pada Rabu.

"Jadi jumlah keseluruhan setakat ini seramai 30 orang. Kita akan bawa balik jenazah selebihnya pada 24 Ogos ini dalam istiadat yang sama.

"Setakat ini dua jenazah sudah siap untuk dibawa pulang dan kita akan terus memberi maklumat terkini mengenai istiadat kedua nanti.

"Dalam masa sama pihak kita akan terus berhubung dengan pihak Amsterdam dalam persiapan untuk membawa balik jenazah-jenazah yang dikenal pasti," jelasnya.

MH17, MAS

Artikel Lain