suria

Isu MB: PAS Hadir Mesyuarat Exco, Bukti Tidak Dikawal PR

Dr Halimah tiba di Bangunan SUK untuk menghadiri mesyuarat Exco pada Rabu.
SHAH ALAM: PAS membuktikan bahawa parti itu mempunyai prinsip tersendiri dan tidak dikawal oleh sekutu dalam Pakatan Rakyat apabila keempat-empat wakilnya hadir pada Mesyuarat Exco di sini, Rabu, walaupun Setiausaha Agung DAP meminta agar mesyuarat itu diboikot.

Empat Exco PAS itu ialah Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi (gambar bawah) dan Iskandar Abdul Samad.



Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Selasa menggesa PAS memboikot mesyuarat Exco yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Rabu.

Dr Halimah yang juga exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, tiba di perkarangan bangunan itu kira-kira pukul 9.40 pagi.

Halimah turut mengesahkan bahawa keempat-empat exco daripada PAS akan menghadiri mesyuarat pada pagi Rabu.

Lima minit kemudian, kelibat Exco Hal Ehwal Islam, Pemodenan dan Pembangunan Desa, Sallehen dan Exco Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ahmad Yunus kelihatan di bangunan tersebut.

Difahamkan, seorang lagi exco PAS iaitu Iskandar Abdul Samad (Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan) tiba seawal pukul 7 pagi.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim dilihat berada di perkarangan tersebut kira-kira pukul 9.25 pagi.

Teng berkata, kehadiran di situ adalah bagi menghadiri beberapa pertemuan bersama pelabur.

Bagaimanapun, beliau dan lima exco yang dipecat daripada DAP dan PKR tidak akan menghadiri mesyuarat exco yang dipengerusikan oleh Khalid.

Seorang exco dari PKR, Elizabeth Wong dilihat tiba di perkarangan bangunan ini pada pukul 10.30 pagi juga untuk menjalankan tugas walaupun pemecatan mereka bukan lagi perkara rahsia.

PAS, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain