suria

Mercy Malaysia Tempatkan 50 Pakar Psikologi Di KLIA

Salah seorang ahli keluarga penumpang pesawat MH17, Akmar Mohd Noor yang hadir ke Anjung Tinjau tidak dapat menahan kesedihan ketika ditemui pemberita di KLIA, pagi Jumaat. - foto AZLINA ABDULLAH/THE STAR
SEPANG: Mercy Malaysia akan menempatkan lebih 50 pakar psikologi dan kaunselor sukarelawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bagi memberi sokongan psikologi dan moral kepada keluarga mangsa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang terhempas di Ukraine, Khamis.

Exco Mercy Malaysia, Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya memberikan bantuan yang terbaik dengan kerjasama pengurusan MAS.

"Kami memahami bahawa mereka perlu menguruskan emosi di tahap maksimum di saat yang sukar ini. Hati dan fikiran kami sentiasa bersama mereka termasuk semua yang terbabit dalam nahas ini," katanya ketika ditemui pemberita di Menara Anjung Tinjau, KLIA di sini.

Setakat pukul 4.15 pagi ini, Mercy Malaysia telah menempatkan lima anggota sukarela bagi memberi sokongan moral kepada anak kapal pesawat yang berlepas dari KLIA, katanya.

Beliau berkata, Mercy Malaysia juga akan berbincang dengan MAS untuk menawarkan khidmat kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam nahas tersebut.

"Sebaik mengetahui kejadian ini melalui media, kami serta merta menggerakkan ahli ke KLIA. Selepas ini kami akan membuat penilaian penuh mengenai bantuan-bantuan yang sewajarnya. Kami sudah bersedia," katanya.

Pesawat MH17, yang membawa 280 penumpang dan 15 anak kapal warga Malaysia, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Pesawat itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari Khamis waktu tempatan dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 6.10 pagi Jumaat.

Mercy Malaysia, MH17

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Urutan Masa MH17

Artikel Lain