suria

Sijil Halal: Operasi Pantau Bufet Ramadan Bermula Hari Ini

Pegawai Jabatan Agama Islam Negeri menarik pelekat halal di pintu dapur sebuah hotel kerana tidak menepati syarat ditetapkan. Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan operasi pertama pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis makanan, termasuk dapur hotel yang mengadakan promosi bufet Ramadan.


Mstar Online
difahamkan, operasi pada Isnin ini akan melibatkan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Difahamkan, operasi yang akan dijalankan di sekitar Kuala Lumpur akan turut membabitkan hotel, selain premis makanan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha mengingatkan pengusaha supaya tidak menggunakan ungkapan seperti 'Bufet Ramadan', 'Makanan Berbuka Puasa', 'Iftar Ramadan' atau 'Makanan Bersahur' sewenang-wenangnya yang boleh mengelirukan pengguna Islam.

"Ini kerana ungkapan tersebut termasuk dalam takrif halal dan perbuatan menggunakan ungkapan sedemikian dengan sewenang-wenangnya boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) dan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

"Oleh yang demikian, hanya premis yang mendapat pengesahan pensijilan halal Malaysia oleh Jakim atau Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri sahaja boleh menggunakan ungkapan tersebut," katanya dalam kenyataan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat premis makanan, restoran dan dapur hotel yang mempunyai sijil pengesahan halal boleh didapati melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

Jakim, sijil halal, KPDNKK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain