suria

Rumah Pengarah Kesihatan Sabah Dipecah Masuk

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan negeri, Dr Christina Rundi mengalami kerugian kira-kira RM15,000 setelah rumahnya di Taman Tuan Huatt, Kepayan Ridge, di sini, dipecah masuk pagi Selasa.

Ketika kejadian pada kira-kira 10 pagi itu, Dr Christina tidak berada di rumah dan dipercayai berada di Semenanjung atas urusan kerja.

Beliau bergegas pulang ke Kota Kinabalu sebaik dimaklumkan jirannya yang mendapati pagar dan pintu jeriji besi rumahnya terbuka sebelum membuat laporan di Balai Polis Luyang, di sini, kira-kira 9.40 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Sehingga kini belum ada tangkapan dan berdasarkan siasatan awal, kejadian dilakukan lebih daripada seorang suspek," katanya.


Sabah, Kesihatan

Artikel Lain