suria

Jakim Saran Kursus Pascaperkahwinan Untuk Suami Isteri

KUALA LUMPUR:Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bercadang melaksanakan kursus pascaperkahwinan bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan dan mengurangkan kadar penceraian pasangan Islam di negara ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Zakuan Sawai berkata kertas cadangan mengenai perkara itu sudah siap dan akan dimajukan kepada jabatan agama Islam negeri.

Cadangan memperuntukkan suami isteri dimestikan mengikuti kursus itu yang dibuat dalam empat fasa berdasarkan usia perkahwinan mereka iaitu satu hingga lima tahun, enam hingga 10 tahun, 11 hingga 20 tahun dan 20 tahun ke atas.

Beliau berkata kursus tiga hari dua malam itu antara lain meliputi isu berkaitan rumah tangga, hubungan suami isteri serta cara mendidik anak.

Katanya, Jakim akan memberi penekanan kepada pasangan yang usia perkahwinannya satu hingga lima tahun kerana kajian jabatan itu mendapati kelompok berkenaan yang paling banyak bermasalah.

"Ini kerana mereka masih berada dalam proses menyesuaikan diri dan mengenali satu sama lain," katanya.

Beliau berkata usaha untuk membangunkan kursus itu bermula pada 2012 dan kini memasuki peringkat projek perintis yang akan diadakan di sini bagi mendapat maklum balas umum mengenai modul yang disediakan.

"Sebagai permulaan kursus ini akan melibatkan penjawat awam sebelum diperluaskan kepada orang ramai", katanya.

Beliau berkata kursus itu juga jauh berbeza dengan kursus praperkahwinan kerana akan membincangkan perihal rumah tangga dengan lebih terbuka termasuk isu kesihatan dan hubungan suami isteri. 

Jakim, kursus pascaperkahwinan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain