suria

Jerebu: 8 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat

KUALA LUMPUR: Kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat kepada lapan setakat 7 pagi tadi, berbanding lima kawasan pada petang Selasa.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Putrajaya mencatat bacaan IPU tertinggi pada 113, diikuti Banting dan Pelabuhan Klang (110), Cheras (107), Nilai (106), Shah Alam (105), Petaling Jaya (104) dan Batu Muda (102).

Dalam pada itu Port Dickson yang mencatat bacaan tidak sihat semalam, turun kepada 82 iaitu IPU sederhana.

Tiga puluh kawasan lain turut mencatat bacaan IPU sederhana antaranya Kuala Selangor (98), Seremban (88), Seri Manjung (74) serta Bakar Arang dan Sungai Petani yang masing-masing merekodkan IPU 71.

Sebanyak 12 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan IPU baik dengan yang terendah iaitu 30 dicatatkan di Langkawi dan Sandakan.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.


Jerebu

Artikel Sebelum

Artikel Lain