suria

Syabas Rugi RM80,000 Akibat Penggunaan Air Terawat Tak Sah Di Sabak Bernam

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menganggarkan kerugian kira-kira RM80,000 atau sebanyak 34,000 meter padu penggunaan air terawat secara tidak sah di tapak pembinaan kunci air di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.


Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Priscilla Alfred berkata, pemantauan serta pemeriksaan menunjukkan tapak pembinaan itu melakukan sambungan haram dari paip utama SYABAS menggunakan paip dari jenis polietilena ketumpatan tinggi (HDPE) berukuran 25 milimeter.

"Pemeriksaan lanjut terhadap jajaran paip juga menunjukkan paip berkenaan tidak melalui sebarang meter Syabas yang sah berdaftar," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Beliau berkata, Syabas mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan bagi membuat tuntutan ganti rugi kehilangan air kepada pihak yang didapati menggunakan bekalan air terawat secara tidak sah ketika syarikat itu melakukan serbuan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Operasi membanteras kegiatan mencuri air terawat daripada paip utama Syabas merupakan satu daripada usaha berterusan bagi mengekang kadar kehilangan air tanpa hasil yang serius," katanya.

Priscilla juga berkata, Syabas giat membanteras kegiatan itu dengan bantuan dan maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, dari 1 Januari hingga 16 Jun lepas, Syabas merekodkan sebanyak 1,584 aduan kes curi air dan sejumlah 2.06 juta meter padu kehilangan air.

Katanya, individu atau pihak yang didapati mengambil air terawat secara haram berdepan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).


Artikel Lain