suria

Culik Rentas Sempadan: Adakah Anggota Barisan Hadapan Terlibat?

Kolam ternakan ikan yang menjadi lokasi pemiliknya diculik baru-baru ini.
LAHAD DATU: Insiden penculikan di pantai timur Sabah yang tiada berkesudahan menguatkan lagi dakwaan rasuah melibatkan anggota agensi penguatkuasaan.

Wujud kebimbangan di kalangan pegawai tertinggi pasukan keselamatan Sabah bahawa jenayah rentas sempadan mungkin menyaksikan anggota barisan hadapan diberi sogokan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini mengakui rasuah dan ketirisan adalah antara punca pencerobohan yang sering berlaku di Sabah.

"Siasatan menunjukkan terdapat  pelanggaran keselamatan di Sabah disebabkan rasuah dan maklumat penting yang dibocorkan oleh individu tidak bertanggungjawab," katanya.

Timbul cakap-cakap di kalangan penduduk di pantai timur Sabah mengenai penyeludup menyogok beberapa pegawai kerajaan untuk membawa masuk 'kargo' yang terdiri daripada dadah kepada pendatang tanpa izin.

Seorang pengendali bot berkata, bayaran bulanan untuk proses penyeludupan boleh mencecah RM20,000 sebulan.

Seorang penyeludup yang enggan dikenali berkata, bayaran untuk membawa masuk pendatang haram dari selatan Filipina ke Sabah menerusi sempadan laut pantai timur itu boleh mencecah RM30 hingga RM50 setiap seorang.

Lelaki tersebut yang merupakan warganegara Malaysia tetapi berasal dari Filipina berkata, kumpulan penculik mempunyai hubungan baik dengan beberapa pegawai dan keluarga di Malaysia untuk memudahkan pergerakan keluar masuk ke perairan pantai timur Sabah.

Seorang pegawai polis di salah sebuah daerah di pantai timur itu dipindahkan selepas dia dipersoalkan mengenai pendapatannya yang mampu memiliki tiga kenderaan mewah (tiga Toyota Land Cruiser).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut digerakkan untuk memantau anggota penguat kuasa yang tindakannya dianggap mengancam keselamatan negara.

Perdagangan rentas sempadan secara haram membuka banyak peluang untuk merasuah anggota di Jabatan Kastam dan Imigresen, kerajaan tempatan, polis dan unit marin serta beberapa agensi lain yang bertugas di sempadan perairan yang berkeluasan 1,770 kilometer itu.

Perolehan daripada operasi penyeludupan dianggarkan bernilai antara RM10 juta dan RM20 juta bergantung kepada tahap penguatkuasaan setiap bulan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengalu-alukan tindakan menempatkan pegawai SPRM di Esszone.

"Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM ... Sekiranya benar gejala rasuah melibatkan pelbagai agensi merupakan faktor kegiatan penculikan di Sabah, maka biarlah SPRM lakukan siasatan dan mengambil tindakan," katanya ketika lawatan ke Sabah baru-baru ini.

Terdapat keadaan di mana maklumat awal dari sempadan perairan dikaitkan dengan kumpulan penculik untuk mendapatkan wang tebusan tidak disampaikan ke pihak sepatutnya atau sengaja diabaikan.

Selepas kes penculikan di Silam dan Kunak, seorang pegawai kanan polis berkata:'Ya, anggota keselamatan kami gagal. Tetapi punca kepada semua kegagalan adalah bahagian risikan.  Kami diberitahu 10 hari lalu bahawa mereka (kumpulan penculik) akan datang dan itu saja. Tiada lagi maklumat terkini untuk pasukan keselamatan sehingga insiden itu berlaku. Kenapa?

Usaha membanteras rasuah di pantai timur Sabah merupakan satu cabaran besar tetapi ia perlu dihentikan segera.

Apa yang perlu dilakukan adalah kemahuan politik untuk menghapuskan gelaja rasuah di kalangan anggota barisan hadapan.

Tahap keselamatan Malaysia akan berhadapan risiko melainkan individu yang melindungi perairan Sabah boleh dipercayai sepenuhnya.
culik, rentas sempadan, Sabah, rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain