suria

Umno Sambut Baik Pelantikan Semula Teng Pengerusi BN Pulau Pinang

Teng Chang Yeow
GEORGE TOWN: Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang menyambut baik pelantikan semula pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Teng Chang Yeow sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata Umno Pulau Pinang berjanji akan memberi kerjasama sebaik mungkin kepada Teng untuk menerajui BN negeri.

"Kami akan jadi pembangkang yang konstruktif, pembangkang yang akan membawa fakta-fakta dari masa ke masa untuk makluman rakyat secara keseluruhan. Saya yakin rakyat Pulau Pinang memerlukan pembangkang yang berwibawa untuk 'check and balance' segala apa yang dibuat oleh kerajaan negeri.

"Semoga dengan pelantikan semula Teng sebagai pengerusi BN negeri, rakyat akan dapat maklum balas yang terkini dan memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Pulau kali ke-13, di sini.

Teng menerima surat pelantikan semula itu daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas berkuat kuasa serta merta.

Mei tahun lepas, Teng meletak jawatan sebagai setiausaha agung Gerakan dan pengerusi BN negeri berikutan kekalahan teruk parti gabungan itu dalam pilihan raya umum ke-13 di Pulau Pinang.

Beliau dilantik sebagai pengerusi BN negeri pada April 2012 menggantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain