suria

MH370: Misi Bakal Guna Kenderaan Dalam Air Automatik

Peta lokasi pencarian pesawat MH370 pada Sabtu yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) Australia.
PERTH: Memasuki hari ke-36 misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 di Lautan Hindi, tumpuan kini bagi pengerahan Kenderaan Dalam Air Automatik milik Amerika Syarikat Blue Fin 21 kerana dikhuatiri bateri kotak hitam telah kehabisan berikutan tiada isyarat dikesan pasukan mencari bagi tempoh 24 jam lepas.

Dua isyarat getaran akustik dikesan Selasa lepas oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield manakala satu isyarat dikesan pesawat Australia AP-3C Orion pada Khamis disahkan tidak ada kaitan dengan alat pengesan isyarat pesawat di bawah permukaan air.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata bagi misi mencari pada Sabtu, Ocean Shield terus menumpukan usaha untuk mengesan isyarat daripada kotak hitam pesawat dengan menggunakan alat pengesan pinger ditunda.

Menurutnya AP-3C Orion turut meneruskan misi pencarian akustik, bersama-sama Ocean Shield dan kapal oseanografi HMS Echo.

"Tiada sebarang pengesanan akustik disahkan dalam tempoh 24 jam lepas," menurut JACC dalam kenyataan hari ini.

JACC berkata sembilan pesawat tentera, sebuah pesawat awam dan 14 kapal terbabit dalam misi mencari MH370 di Lautan Hindi pada Sabtu, melibatkan kawasan seluas kira-kira 41,393 kilometer persegi.

Kawasan pencarian bertumpu di sekitar kira-kira 2,331 kilometer barat laut Perth, katanya.

"Berdasarkan ramalan cuaca hari ini, tiupan angin dari arah tenggara selaju 10 knot dan hujan sekejap-sekejap, ombak setinggi satu meter dan jarak penglihatan lima kilometer dalam keadaan hujan," kata JACC dan menurutnya tiada satupun objek yang diambil dari kawasan pencarian mempunyai kaitan dengan pesawat MH370.

Rabu lepas, Ketua Penyelaras JACC, Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata Kenderaan Dalam Air Automatik akan dikerahkan sebaik sahaja tiada isyarat dikesan.

Pihak berkuasa menganggarkan bateri kotak hitam mungkin boleh bertahan 10 hari lebih lama daripada jangka hayat 30 hari sebelum ia berhenti menghantar isyarat getaran.

Sejak Jumaat minggu lepas, pasukan mencari mengesan enam isyarat, dua daripadanya dikesan kapal China, Haixun 01, pada 4 dan 5 April manakala Ocean Shield mengesan empat isyarat pada 5 dan 8 April.

Kotak hitam merekodkan data kokpit dan mungkin memberikan jawapan mengenai apa yang sebenarnya berlaku terhadap MH370.

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing 6.30 pagi hari sama.

Misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara, pada mulanya di kawasan Laut China Selatan dan kemudiannya - selepas pesawat itu dikesan melencong daripada laluan asal - di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga utara Thailand dan koridor selatan dari Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi.

Berikutan hasil analisis terhadap data satelit, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.

Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu, Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

MH370, MAS, JACC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain