suria

Itik Rempuh Pesawat MAS di Nepal

NEW DELHI: Sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 180 penumpang dan anak kapal terselamat daripada mengalami bencana apabila sekumpulan itik merempuh cermin hadapannya ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan (TIA) pada Jumaat malam.

Portal berita Nepal kantipuronline.com. pada Sabtu memetik pihak berkuasa lapangan terbang sebagai berkata kejadian pada pukul 10.45 malam itu menyebabkan hujung Landasan 02 dipenuhi serpihan kaca.

Tiada laporan mengenai kecederaan yang dialami mereka yang menaiki pesawat MH-144 dari Kuala Lumpur ke Kathmandu itu.

Petugas kokpit pesawat itu bagaimanpun dikatakan tidak segera memaklumkan kejadian tersebut kepada Pengawal Trafik Udara (ATC).

Kapten pesawat berkenaan bagaimanapun mengesahkan ia "disyaki melanggar unggas", selepas anak kapal Jet Airways melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa lapangan terbang, kata laporan itu.

Juruterbang MAS terbabit dipercayai mungkin dikenakan tindakan kerana tidak segera melaporkan kejadian tersebut.

"Kejadian itu terdedah selepas seorang juruterbang Jet Airways, yang mendaratkan pesawatnya beberapa minit selepas pesawat MAS, memaklumkan kepada kami beliau ternampak serpihan kaca berselerak di landasan," kata seorang pegawai ATC yang enggan dikenali.

Para pegawai TIA yang membuat pemeriksaan menjumpai sekurang-kurangnya 10 bangkai itik serta kepingan kaca di landasan. Serpihan kaca itu kemudian dibuang dan lapangan terbang tersebut kembali beroperasi 30 minit kemudian.

Para pegawai menjumpai dua lagi bangkai itik ketika melakukan pemeriksaan rutin pada pagi Sabtu.

"Ini kali pertama kami melihat begitu banyak itik di kawasan lapangan terbang ini," kata seorang pegawai yang mengesyaki unggas itu mungkin itik penghijrah.

MAS membatalkan penerbangannya ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 11 malam Jumaat.


MAS, Nepal, Kathmandu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain