suria

Selangor Mahu Bincang Semula Isu Penstrukturan Industri Air - MB

KAJANG: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan semula dengan Kerajaan Persekutuan berhubung penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, perbincangan semula itu akan berkisar mengenai tiga elemen termasuk penyusunan semula pengambilalihan operasi air daripada syarikat konsesi.

"Keduanya mengenai beberapa kelulusan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri untuk Langat 2.

"Jadi ia mesti dilakukan serentak dan perbincangan dengan Pengurusan Aser Air Berhad (PAAB) serta pemberian sebanyak RM2 bilion kepada kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di sini, Isnin.

Sebelum ini dilaporkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) tetapi akan mengambil alih pengeluaran air dan pengurusan aset jika kerajaan Selangor dan pemegang konsesi air tidak mengukuhkan perjanjian dalam masa terdekat.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dilaporkan berkata, beliau masih mempunyai 'sedikit harapan' bahawa kerajaan negeri dan syarikat-syarikat konsesi akan mencapai kata sepakat dalam perjanjian tersebut.

Mengulas lanjut Abdul Khalid berkata, beliau sudah menulis surat kepada kementerian minggu lalu untuk berbincang mengenainya.

"Sebenarnya saya sudah tulis surat kepada menteri tentang langkah untuk laksanakan Seksyen 114 Wasia pada minggu lalu.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan menteri tentang perlaksanaannya. Dengan cara itu ketiga-tiga projek boleh dilakukan dengan serentak," katanya.


Syabas, Air Selangor

Artikel Lain