suria

Dua Anggota Polis Dipenjara 12 Bulan Kerana Rasuah

GEORGE TOWN: Dua anggota polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Isnin selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menerima rasuah pada 2011.

Sarjan Yang Ghazali Abu Hanifah, 58 dan Lans Koperal M. Vathumalai, 52 dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dituduh meminta suapan RM400 dan menerima rasuah RM400 pada 13 dan 14 Mei 2011.

Mereka didakwa meminta dan menerima suapan itu daripada Tan Seong Soon, 41, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap dua warga China, Fan Qiyan dan Wei Youmei yang bekerja tanpa permit sah.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan pertama di tempat kerja warga China itu di sebelah premis makanan Loo Yee Fish Spa & Restaurant, Lorong Madras di sini pada 11.20 malam, 13 Mei 2011.

Kesalahan kedua pula didakwa dilakukan di tempat sama pada 12.10 malam, 14 Mei 2011.

Mereka dituduh menurut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu  dipenjara 20 tahun atau denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Hakim Khairul Anuar Abdul Halim berkata, faktor kedua-dua tertuduh merupakan penjawat awam yang diberi amanah turut diambil kira.

Perbuatan tertuduh meminta suapan telah menghancurkan kepercayaan dan menjejaskan integriti pasukan polis, katanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak berkuat kuasa pada Isnin.

Rosli Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara terhadap kedua-duanya kerana mahu memfailkan rayuan pada Selasa.

Mahkamah menerima permohonan itu namun kedua-dua tertuduh perlu membayar denda pada Isnin dan jika gagal boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ghazali Mohammad Nadzri.

polis, mahkamah sesyen, rasuah

Artikel Lain