suria

Setiausaha PKR Bintulu Calon PRK Balingian

Abdul Jalil Bujang
SIBU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan Setiausaha Cabang Bintulunya, Abdul Jalil Bin Bujang untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada 29 Mac ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dalam satu sidang akhbar di sebuah hotel terkemuka di sini Ahad.

Azmin berkata, pemilihan Abdul Jalil, 55, yang pernah bertanding pada pilihan raya DUN Sarawak ke-10 di DUN Jepak menentang Barisan Nasional (BN) diputuskan selepas mengambil kira semua pandangan termasuk pengalaman beliau. 

"Beliau berasal dari Bintulu tetapi mempunyai hubungan keluarga cukup kuat iaitu nenek beliau berasal dari Kampung Lintang Balingian dan sering berulang-alik antara Bintulu dan Balingian untuk menziarahi ahli keluarga",katanya.

Beliau yakin pengundi Balingian sudah cukup matang untuk menilai latar belakang dan prestasi calon dalam membela nasib rakyat dan membawa suara rakyat dalam DUN Sarawak.

Azmin berkata biarpun calon PKR tewas kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri lepas, namun beliau mendakwa suara pembangkang sudah semakin kuat untuk memberikan cabaran dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau berkata, DAP dan PAS sudah menyatakan kesediaan menyokong calon yang dipilih PKR.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bekas pegawai daerah Dalat, Yussibnosh Balo, 48, yang juga anak jati Mukah berketurunan Melanau sebagai calon Barisan Nasional untuk PRK Balingian.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan penyandang kerusi Balingian, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari lepas.

Artikel Lain