suria

Pelajar Lelaki Mati Sinki Runtuh Di Bilik Hotel

ALOR SETAR: Seorang budak lelaki berusia 14 tahun mati selepas mengalami pendarahan yang banyak akibat sinki di dalam tandas bilik hotel di sini patah dan menyebabkan luka yang dalam di bahagian pahanya.

Pelajar tingkatan dua yang hanya dikenali sebagai Ming Shen, sedang mencuci tangan dalam kemalangan yang berlaku kira-kira tengah malam semalam.

Dia berada di bilik rakannya menonton badminton di televisyen dengan beberapa rakan yang lain.

Ming Shen berjaya membuka pintu tandas untuk meminta bantuan daripada rakannya, seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun yang hanya dikenali sebagai Wei.

Wei, ketika ditemui di tempat kejadian, menyamakan bunyi sinki yang terjatuh dengan suatu letupan.

"Dia minta saya menyelamatkannya, jadi saya menghubungi pejabat hotel dan meminta mereka memanggil ambulans. Kami menunggu tetapi ambulans tidak tiba. Banyak panggilan telah dibuat ke hospital tetapi kami diberitahu bahawa ambulans itu dalam perjalanan.

"Saya pergi ke luar hotel selepas menunggu hampir 20 minit. Ambulans tiba 40 minit kemudian, tetapi ia sudah terlambat kerana Ming Shen telah mati kerana kehilangan darah," katanya.

Ibunya, yang enggan namanya disiarkan berharap untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan hotel bagaimana sinki tersebut boleh runtuh sambil menambah sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan.

Beliau menyifatkan Ming Shen, anak bongsu daripada tiga adik-beradik sebagai anak yang taat dan gemarkan sukan badminton.

"Dia telah memberitahu kami untuk tinggal di hotel bersama rakannya selepas menonton perlawanan badminton," kata ibunya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain